Khalifah al-Ma'mum menghantar al-Hajjaj ibn Batar, Ibn al-Batriq dan Salman (pengarah Bait al-Hikmah) ke Rom, iaitu Bizantin, untuk membawa pulang manuskrip-manuskrip terpilih. Al-Ma'mum mengarahkan buku-buku itu dialihbahasa. Penterjemah handalan Hunayn bin Ishaq turut dikirim ke Rom untuk membawa pulang buku-buku nadir, kitab-kitab falsafah, geometri, muzik, matematik dan perubatan. Para pembesar yang ghairah dengan ilmu menyediakan dana untuk kumpulan penterjemah, antaranya Thabit bin Qurrah. Setiap bulan perbelanjaan itu berjumlah lima ratus emas dinar, dalam nilai hari ini tentunya berjuta-juta ringgit.
"Aku mendengar," kata al-Nadim dalam Fihristnya, "Abu Ishaq ibn Shahran — seorang duta kepada kerajaan Rom — menceritakan dalam satu majlis, wujudnya satu kuil tua. Saiz pintu-pintunya adalah yang paling besar pernah disaksikan. Kesemuanya diperbuat dari besi. Di zaman dulu kala orang-orang Yunani menyembah dewatanya dan membuat korban di kuil tersebut. Saya memohon maharaja Rom membuka tempat itu untukku, tetapi itu mustahil kerana bangunan itu telah dikunci sejak Rom memeluk agama Nasrani. Tetapi aku terus berlaku sopan, menulis surat kepada baginda, dan merayu kepadanya dalam perbualan."
Pengalih Bahasa 8
Mei 11, 2006 oleh rastom